Thursday, August 29, 2013

Pegangan Aqidah Kedatangan Al-Mahdi disisi Ahlus Sunnah

Mukaddimah

Pada akhir zaman akan keluar seorang lelaki dari kalangan Ahlul Bait, Allah akan mengokohkan agama Islam dengannya, dia akan menjadi pemimpin selama tujuh tahun. Bumi akan dipenuhi dengan keadilan yang mana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman.

Semua umat merasakan kenikmatan pada masanya dengan kenikmatan yang tidak dirasakan sebelumnya, bumi mengeluarkan pelbagai tumbuhan, langit menurunkan hujan, dan harta akan melimpah tanpa batas.

Ibn Kathir berkata:

في زمانه تكون الثمار كثيرة ، والزروع غزيرة ، والمال وافر ، والسلطان قاهر ، والدين قائم ، والعدو راغم ، والخير في أيامه دائم

"Pada masanya buah-buah sangat banyak, banyak tanaman tumbuh subur, harta melimpah, pemerintah kuat, agama tertegak, musuh tunduk, kebaikan terus-menerus dihari-harinya" (An-Nihayah/al-Fitan wal Malaahim (I/31) tahqiq Dr Thaha Zaini)

1. NAMA dan SIFATNYA

Nama lelaki tersebut seperti nama Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam. dan nama bapa beliau juga seperti nama bapa baginda. Maka nama beliau adalah Muhammad -atau Ahmad- bin 'Abdillah. Beliau berasal dari keturunan Fatimah binti Rasulullah, dan dari keturunan al-Hasan bin 'Ali.

Ibn Kathir berkata tentang Al-Mahdi:

وهو محمد بن عبد الله العلوي الفاطمي الحسني رضي الله عنه

"Dia adalah Muhammad bin 'Abdillah al-'Alawi, al-Fathimi, al-Hasani radiyallahu anhu" (An-Nihayah/al-Fitan wal Malaahim (I/29))

2. TEMPAT KELUARNYA

Al-Mahdi akan keluar dari arah Timur. Diterangkan didalam hadis, dari Tsauban radiyallahu anhu dia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

يقتتل عند كنزكم ثلاثة ، كلهم ابن خليفة ، ثم لا يصير إلى واحد منهم ، ثم تطلع الرايات السود من قبل المشرق فيقتلونكم قتلا لم يقتله قوم " . ثم ذكر شيئا لا أحفظه فقال : " فإذا رأيتموه فبايعوه ولو حبوا على الثلج فإنه خليفة الله المهدي

"Ada 3 orang yang saling berbunuhan disisi simpanan mereka, semua mereka adalah putera kepada Khalifah, kemudian tidak akan kembali ke salah seorang dari mereka. Akhirnya muncullah bendera-bendara hitam dari arah timur, lalu mereka akan memerangi kalian dengan peperangan yang tidak pernah dilakukan oleh satu kaum pun... (lalu beliau menuturkan sesuatu yang tidak aku fahami, kemudian beliau berkata) Jika kalian melihatnya, maka bai'atlah dia! Walaupun dengan merangkak diatas salji, kerana sesungguhnya dia adalah khalifah Allah Al-Mahdi" (Sunan Ibn Majah, beliau berkata "Hadis ini sahih dengan syarat Asy-Syaikhani". Disepakati oleh Adz-Dzahabi. Ibn Kathir berkata "Ini adalah sanad yang kuat dan sahih")

Ibn Kathir berkata:

والمراد بالكنز المذكور في هذا السياق كنز الكعبة ، يقتتل عنده ليأخذه ثلاثة من أولاد الخلفاء ، حتى يكون آخر الزمان فيخرج المهدي ، ويكون ظهوره من بلاد المشرق لا من سرداب سامرا ، كما يزعمه جهلة الرافضة من أنه موجود فيه الآن وهم ينتظرون خروجه في آخر الزمان ، فإن هذا نوع من الهذيان ، وقسط كبير من الخذلان ، شديد من الشيطان ؛ إذ لا دليل على ذلك ، ولا برهان لا من كتاب ولا سنة ولا معقول صحيح ولا استحسان ، 

"Yang dimaksudkan dengan simpanan pada matan tersebut adalah simpanan Ka'abah. Tiga orang dari putera-putera Khalifah akan saling berbunuhan disisinya untuk memperebutkannya hingga akhir zaman. Kemudian keluarlah Al-Mahdi dan beliau datang dari arah Timur, bukan dari Sardab Samira seperti yang dikatakan oleh orang bodoh dari kalangan Rafidhah bahawa Al-Mahdi saat ini ada didalamnya, dan mereka sedang menunggu kemunculannya diakhir zaman. Ini adalah satu bentuk pembohongan, keterbelakangan yang sangat jelas, dan kehebatan tipu daya syaitan, kerana tidak ada dalil yang menunjukkan hal itu, tidak ada bukti dari Al-Quran, as-Sunnah, akal yang sehat dan sangkaan yang benar."

Beliau pun berkata lagi:

إلى أن قال : ويؤيده بناس من أهل المشرق ينصرونه ويقيمون سلطانه ويشدون أركانه ، وتكون راياتهم سودا أيضا ، وهو زي عليه الوقار ؛ لأن راية رسول الله صلى الله عليه وسلم كانت سوداء يقال له العقاب

"Beliau (Al-Mahdi) disokong oleh orang-orang dari Timur yang menolongnya, menegakkan kekuasaannya, memperkuatkan sendi-sendinya, dan bendera mereka saat itu berwarna hitam, yang melambangkan ketenangan, sebagaimana bendera Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam dahulu berwarna hitam dengan sebutan Al-'Uqaab"

Beliau pun berkata lagi:

إلى أن قال : والمقصود : أن المهدي الممدوح الموعود بوجوده في آخر الزمان يكون أصل خروجه وظهوره من ناحية المشرق ، ويبايع له عند البيت كما دل على ذلك نص الأحاديث

"Dan maksud, (dari penyataan) bahawa Al-Mahdi yang dipuji dan dijanjikan kedatangannya diakhir zaman, asal munculnya adalah dari arah timur. Dan dia akan di bai'at di Masjidil Haram (dekat Ka'abah) sebagaimana ditunjukkan oleh sebahagian hadis" (An-Nihaayah/al-Fitan wal Malaahim (I/29-30))

3. DALIL-DALIL DARI AS-SUNNAH YANG MENUNJUKKAN AKAN KEDATANGANNYA

Telah diriwayatkan pelbagai hadis sahih yang menunjukkan akan munculnya al-Mahdi. Diantara hadis-hadis ini ada yang khusus menyebutkan tentang Al-Mahdi, ada juga yang menyebutkan sifat-sifatnya. Di sini kami akan menjelaskan sebahagian hadis-hadisnya, dan hal itu sudah cukup dalam menetapkan kemunculannya pada akhir zaman sebagai tanda dari tanda-tanda Kiamat.

a. Diriwayatkan dari Abu Sa'id al-Khudri radiyallahu anhu, bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
يخرج في آخر أمتي المهدي ، يسقيه الله الغيث ، وتخرج الأرض نباتها ، ويعطي المال صحاحا ، وتكثر الماشية ، وتعظم الأمة ، يعيش سبعا ، أو ثمانيا ، يعني حججا 

"Pada akhir umatku akan keluar al-Mahdi. Allah menurunkan hujan kepadanya, keluar dari bumi tumbuhannya, harta dibahagikan secara adil, banyaknya binatang ternak dan umat menjadi mulia. dia akan hidup selama tujuh atau lapan (iaitu musim haji)" (Mustadrak al-Hakim (IV/557-558), beliau berkata: "Sanad hadis ini sahih, akan tetapi keduanya (Bukhari dan Muslim) tidak meriwayatkannya". Dan disepakati oleh Az-Dzahabi. Albani berkata: "Ini adalah sanad yang sahih, perawinya tsiqah")

b.  Dari darinya (Abu Sa'id) radiyallahu anhu, dia berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

أبشركم بالمهدي ، يبعث على اختلاف من الناس وزلازل ، فيملأ الأرض قسطا وعدلا كما ملئت جورا وظلما ، يرضى عنه ساكن السماء وساكن الأرض ، يقسم المال صحاحا "

"Aku berikan khabar gembira dengan kedatangan al-Mahdi, yang diutus ketika banyaknya perselisihan diantara manusia dan banyaknya kegoncangan. Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kekejaman dan kezaliman. Penduduk langit dan penduduk bumi meredhainya, dia akan membahagikan harta dengan cara shihah"

قال له رجل : ما صحاحا ؟ قال : " بالسوية بين الناس

Dan berkata seorang lelaki: "Apakah shihaah itu". Beliau menjawab: "Dengan tersebar secara adil dikalangan manusia" 

ويملأ الله قلوب أمة محمد - صلى الله عليه وسلم - غناء ، ويسعهم عدله ، حتى يأمر مناديا فينادي فيقول : من له في مال حاجة ؟ فما يقوم من الناس إلا رجل واحد فيقول : أنا . فيقول : إئت السدان - يعني الخازن - فقل له : إن المهدي يأمرك أن تعطيني مالا . فيقول له : احث ، حتى إذا جعله في حجره وائتزره ندم ، فيقول : كنت أجشع أمة محمد - صلى الله عليه وسلم - أو عجز عني ما وسعهم " . قال : " فيرده فلا يقبل منه ، فيقال له : إنا لا نأخذ شيئا أعطيناه ، فيكون كذلك سبع سنين أو ثمان سنين أو تسع سنين ، ثم لا خير في العيش بعده " . أو قال : ثم لا خير في الحياة بعده

"Dan Allah memenuhi hati umat Muhammad shallallahu 'alaihi wa sallam dengan kekayaan (rasa cukup), meliputi mereka dengan keadilannya, sehingga dia memerintahkan seorang penyeru, maka penyeru itu berkata, 'Siapakah yang memerlukan harta?' Lalu tidak ada seorang pun berdiri kecuali satu orang dan orang itu berkata: "Saya". Dia (al-Mahdi) berkata: 'Pergilah bertemu penjaga (gudang harta) dan katakan kepadanya, Sesungguhnya al-Mahdi memerintahkanmu untuk memberikan harta kepadaku'.  Kemudian dia (penjaga gudang harta) berkata kepadanya, 'Ambillah sedikit', Sehingga ketika dia telah menyimpan dipangkuannya dan menampakkannya, dia menyesal dan berkata: 'Aku adalah umat Muhammad yang jiwanya paling rakus, atau aku tidak mampu mencapai apa yang mereka capai"

Beliau berkata, 'Lalu dia mengembalikannya dan harta itu tidak diterima, maka para penjaga gudang harta berkata kepadanya, 'Sesungguhnya kami tidak menerima apa-apa yang telah kami diberikan'. Demikianlah akan terus berlaku selama tujuh tahun atau lapan tahun atau sembilan tahun, kemudian tidak ada lagi kehidupan yang baik setelah itu" Atau beliau berkata: "Kemudian tidak ada lagi hidup yang baik setelahnya"  

(Musnad Imam Ahmad (III/37, Muntakab al-Kanz). Al-Haitsami berkata, "Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan selainnya banyak diringkaskan, dan diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad-sanadnya, Abu Ya'la dengan sangat ringkas dan para perawi keduanya tsiqah". Majmaa'uz Zawaaid (VII/313-314))

Hadis ini menunjukkan bahawa setelah kematian al-Mahdi akan muncul keburukan dan pelbagai fitnah besar.

c. Diriwayatkan dari 'Ali radiyallahu anhu, dia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

المهدي منا أهل البيت يصلحه الله في ليلة

"Al-Mahdi dari keturunan kami, Ahlul Bait, Allah akan memperbaikinya dalam satu malam" (Musnad Ahmad (II/58, no. 645), tahqiq Ahmad Syakir, beliau berkata, "Sanadnya sahih". Dan Sunan Ibn Majah (II/1367). Dan hadis ini juga disahihkan oleh Syeikh Al-Albani dalam Shahiih al-Jaami'ish Shaghiir (VI/22, no. 6611))

Ibn Kathir berkata: 

ومعنى يصلحه الله في ليلة : يتوب عليه ويوفقه ويلهمه رشده بعد أن لم يكن كذلك
"Dan makna dari Allah akan memperbaikinya dalam satu malam: adalah Allah memberikan taubat kepadanya, memberikan taufik kepadanya, mengilhamkannya, dan membimbingnya sedangkan sebelumnyanya tidak demikian" (An-Nihaayah fil Fitan wal Malaahim (I/29) tahqiq Dr Thaha Zaini)

d. Diriwayatkan dari Abu Sa'id Al-Khudri radiyallahu anhu, dia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
المهدي مني ، أجلى الجبه ، أقنى الأنف ، يملأ الأرض قسطا وعدلا ، كما ملئت جورا وظلما ، ويملك سبع سنين

"Al-Mahdi dari keturunanku, dahinya lebar, hidungnya mancung. Dia akan memenuhi bumi keadilan, sebagaimana bumi telah dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman sebelumnya. Dia akan berkuasa selama tujuh tahun" (Sunan Abi Daud, kitab al-Mahdi (XI/375, no. 4265) dan Mustadrak al-Hakim (IV/557). Beliau berkata: "Hadis ini sahih dengan syarat Muslim, akan tetapi keduanya tidak meriwayatkannya". Adz-Dzahabi berkata: "Imran (salah seorang perawi hadis) lemah, dan Muslim tidak menjadikannya perawi")

e. Diriwayatkan dari Ummu Salamah radiyallahu anha, ia berkata, "Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaih wa sallam bersabda:

المهدي من عترتي من ولد فاطمة

"Al-Mahdi adalah dari Ahli Baitku, dari keturunan Fatimah" (Sunan Abi Daud (XI/373 dan Sunan Ibni Majah (II/1368). Al-Albani berkata dalam Shahiihul Jami', "Sahih" (VI/22, no. 6610)

f. Diriwayatkan dari Jabir radiyallahu anhu, dia berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:


ينزل عيسى بن مريم , فيقول أميرهم المهدي : تعال صل بنا , فيقول : لا إن بعضهم أمير بعض , تكرمة الله لهذه الأمة

"Isa bin Maryam turun, lalu pemimpin mereka. al-Mahdi berkata: "Solatlah mengimami kami" Dia berkata, "Tidak, sesungguhnya sebahagian dari kalian adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain, sebagai suatu kemuliaan yang Allah berikan kepada umat ini" (HR Al-Harits bin Abi Usamah dalam Musnadnya, juga diriwayatkan dalam al-Manarul Munif, karya Ibnul Qayyim (hal. 147-148), dan al-Haawi fil Fataawaa', karya As-Suyuti (II/64))

g. Diriwayatkan dari Abu Sa'id al-Khudri radiyallahu anhu, dia berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

منا الذي يصلي عيسى بن مريم خلفه

"Orang yang menjadi imam bagi 'Isa bin Maryam didalam solatnya adalah dari golongan kami" (HR Abu Nu'aim dalam Akhbaarul Mahdi sebagaimana dikatakan oleh as-Suyuti didalam al-Haawi (II/64) dan beliau memberikan lambang dengan dha'if, begitu juga al-Manawi dalam Faidhul Qadiir (VI/17). Al-Albani berkata, "Sahih". Lihat Shahiih al-Jaami'ish Shaghiir (V/219, no. 5796). 'Abdul 'Alim berkata dalam risalahnya, "Sanadnya hasan dengan beberapa penguat" (hal. 241))


h. Diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud radiyallahu anhu, dia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

لاتذهب أو لا تنقضي الدنيا حتى يملك العرب رجل من أهل بيتي يواطئ اسمه اسمي

"Dunia tidak akan hilang atau tidak akan lenyap hingga seorang dari Ahli Baitku menguasai Bangsa Arab, nama nya sama dengan namaku" (Musnad Ahmad (V/199, no. 3573), tahqiq Ahmad Syakir, beliau berkata: "Sanadnya Sahih". at-Tirmidzi (VI/485), beliau berkata: "Hadis ini hasan sahih". Dan Sunan Abi Daud (XI/371))

Dalam satu riwayat:

يواطئ اسمه اسمي ، واسم أبيه اسم أبي

"Namanya sama dengan namaku, dan nama bapanya sama dengan nama bapaku" (Sunan Abu Daud (XI/371). Al-Albani berkata: "Sahih" Shahiih al-Jaami'ish Shaghiir (V/70-71, no. 5180). Lihat Risaalah 'Abdul 'Alim fil Mahdi (hal. 202))

4. SEBAHAGIAN HADIS DALAM SAHIH AL-BUKHARI DAN SAHIH MUSLIM YANG MEMPUNYAI KAITAN DENGAN AL-MAHDI

a. Diriwayatkan dari Abu Hurairah radiyallahu anhu, beliau berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

كيف أنتم إذا نزل ابن مريم فيكم وإمامكم منكم

"Bagaimanakah keadaan kalian ketika putera Maryam turun diantara kalian, sedangkan imam kalian dari kalangan kalian" (Sahih al-Bukhari, kitab Ahaadiitsul Anbiya', bab Nuzuulu 'Isa bin Maryam (VI/491), dan Sahih Muslim, kitab al-Imanm bab Nuzuulu 'Isa bin Maryam (II/193, Syarah an-Nawawi))

b. Diriwayatkan dari Jabir bin 'Abdillah radiyallahu anhu, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda:

لا تزال طائفة من أمتي يقاتلون على الحق ظاهرين إلى يوم القيامة فينزل عيسى فيقول أميرهم : تعال صلّ لنا ، فيقول : لا ، إن بعضكم على بعض أمراء ، تكرمة الله هذه الأم

"Senantiasa ada sekelompok dari umatku berjuang diatas kebenaran, mereka akan tetap ada sampai Hari Kiamat" Beliau bersabda: "Lalu 'Isa bin Maryam 'alaihis salam turun, pemimpin mereka berkata, 'Kemarilah, solatlah mengimami kami'. Lalu dia ('Isa) berkata, 'Tidak, sesungguhnya sebahagian dari kalian adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan yang Allah berikan kepada umat ini" (Sahih Muslim, kitab al-Iman, bab Nuzuulu 'Isa bin Maryam (II/193-194, Syarah an-Nawawi))

c. Diriwayatkan dari Jabir bin 'Abdillah radiyallahu anhu, beliau berkata. Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

يَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتِي خَلِيفَةٌ يَحْثِي الْمَالَ حَثْيًا لَا يَعُدُّهُ عَدَدًا

"Diakhir umatku akan ada seorang khalifah yang akan membahagi-bahagikan harta dengan kedua tangannya tanpa ada orang yang dapat menghitungnya". Al-Jurairi (salah seorang perawi) berkata:

قُلْتُ لِأَبِي نَضْرَةَ وَأَبِي الْعَلَاءِ أَتَرَيَانِ أَنَّهُ عُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ فَقَالَا لَا

"Aku berkata kepada Abu Nadhrah dan Abil 'Ala, 'Apakah kalian berpendapat bahawa ia adalah 'Umar bin 'Abdil 'Aziz?' Beliau menjawab: 'Tidak" (Sahih Muslim, kitab al-Fitan wa Asyraathus Sa'ah (XVIII/38-39, Syarah an-Nawawi). Dan diriwayatkan juga pula oleh al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah bab al-Mahdi (XV/86-87), tahqiq Syu'aib al-Arnauth. Al-Baghawi berkata: "Hadis ini sahih, diriwayatkan oleh Muslim)

Hadis-hadis yang terdapat dalam Ash-Sahihain ini menunjukkan dua perkara:

Pertama: Bahawa ketika 'Isa bin Maryam alaihis salam turun dari langit, maka orang mengatur urusan kaum muslimin adalah seorang lelaki dari kalangan mereka.

Kedua: Bahawa kehadiran pemimpin mereka untuk melakukan solat, dan mengimami kaum muslimin, serta permohonannya kepada Nabi 'Isa agar kehadapan menjadi Imam bagi solat mereka, semua ini menunjukkan kesolehan pemimpin tersebut dan keadaannya yang berada didalam petunjuk (Hidayah).

Hadis tersebut walaupun tidak mengandungi sebutan yang jelas dengan kata al-Mahdi, namun hadis tersebut menunjukkan kepada seorang lelaki soleh yang menjadi Imam bagi kaum muslimin saat itu. Telah diriwayatkan pelbagai hadis dari kitab-kitab Sunan, Musnad dan selainnya yang memberikan penafsiran terhadap hadis-hadis yang ada didalam Ash-Sahihain, dan menunjukkan bahawa lelaki soleh tersebut bernama Muhammad bin 'Abdillah, yang digelar dengan al-Mahdi, sedangkan as-Sunnah saling menafsir antara satu sama lain.

Diantara hadis-hadis tersebut yang menunjukkan perkara itu adalah hadis yang diriwayatkan oleh al-Haris bin Abu Usamah dalam Musnadnya dari Jabir bin 'Abdillah radiyallahu anhu, dia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
ينزل عيسى بن مريم , فيقول أميرهم المهدي

"Isa bin Maryam turun, lalu pemimpin mereka. al-Mahdi berkata..." (HR Al-Harits bin Abi Usamah dalam Musnadnya, juga diriwayatkan dalam al-Manarul Munif, karya Ibnul Qayyim (hal. 147-148), dan al-Haawi fil Fataawaa', karya As-Suyuti (II/64))

Hadis ini menunjukkan bahawa pemimpin tersebut adalah pemimpin yang disebutkan dalam Sahih Muslim yang meminta kepada Nabi 'Isa untuk kehadapan menjadi Imam dalam solat, nama nya adalah al-Mahdi.

Syeikh Siddiq Hasan Khan menyebutkan hadis yang banyak tentang al-Mahdi didalam kitabnya al-Idza'ah. Beliau menjadikan hadis Jabir yang disebutkan didalam riwayat Muslim dibahagian akhir, kemudian beliau berkata, "Didalamnya tidak ada sebutan al-Mahdi, akan tetapi tidak ada makna lain diatas hadis tersebut dan hadis yang sepertinya selain al-Mahdi yang dinantikan, sebagaimana yang ditunjukkan oleh beberapa hadis terdahulu juga atsar yang banyak" (Aqiidah Ahlus Sunnah wal Atsar fil Mahdi al-Muntazar (hal. 175-176), karya Syeikh Abdul Muhsin bin Hamd al-Hammad, bekas pensyarah di Universiti Islam Madinah al-Munawwarah. Lihat al-Idza'aah (hal. 144))

(Disalin dari kitab Asyratus Sa'ah karya Syeikh Yusuf bin 'Abdillah bin Yusuf al-Wabil)

No comments:

Post a Comment